izharhadafi

Archive for Ogos 2009|Monthly archive page

Maktab Ramadhan 1430H

In Famili on Ogos 31, 2009 at 5:26 pm

ramadhan

Saya memulakan Ramadhan tahun ini dengan semangat yang baru, antara sebabnya ialah dengan adanya Masjid baru di Alam Damai yang secara ‘tidak rasmi’nya memulakan operasi pada 21 Ogos 2009. Ini ditambah pula dengan penyampaian kuliah Subuh pertama pada 1 Ramadhan oleh Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, pemilik blog Saifulislam.com. Beliau adalah antara ustaz-ustaz yang ‘terpilih’ untuk menyampaikan tazkirah di masjid berkenaan, kerana aktiviti tazkirah terpaksa dihentikan sementara waktu atas sebab-sebab yang tertentu.

Alhamdulillah setakat ini kerja-kerja di pejabat berada di dalam tahap ‘manageable’, dan sehingga kini hanya sekali saya berbuka puasa di pejabat. Harapnya keadaan ini berterusan sehingga akhir Ramadhan.

Cuaca tahun ini juga berpihak kepada orang-orang yang berpuasa. Redup, nyaman dan adakalanya diselangi dengan hujan renyai-renyai. Namun berdasarkan pengalaman sejak beberapa tahun yang lalu, mungkin keadaan ini berubah semakin dekat kita dengan Syawal. Mungkin keadaan ini bertepatan dengan hadith Rasulullah saw mengenai Ramadhan-

Awalnya rahmat, pertengahannya Keampunan dan Akhirnya Pembebasan daripada api neraka
– hadis ini diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah dalam Sahihnya,Baihaqi dan Ibnu Hibban

Telahan saya, hujan membawa rahmat dan kemudiannya dalam perjuangan untuk mendapatkan keampunan dan pembebasan dari api neraka, kita diuji sedikit dengan panas terik dan haus serta dahaga.

Hujung minggu Merdeka ini pula diisi dengan jamuan berbuka puasa bersama keluarga. Tok Wan, Tok Yah, Cik Raihan dan Dik Su datang dari Pulau Pinang sempena cuti panjang ini untuk bersama-sama menunaikan ibadat puasa bersama kami, selain mengambil peluang untuk membeli-belah di destinasi shopping ‘wajib’ setiap tahun- Jalan TAR. Dan seperti biasa, saya menjadi drebar membawa mereka membeli-belah kerana Tok Wan memang tidak mahu ikut sama; tetapi saya awal-awal lagi sudah menetapkan tempoh maksimum untuk menunggu, kalau tidak sampai ke Maghrib pun tak habis lagi bertawaf di sekeliling Jalan TAR…

Hasif bersama sepupu, Nabilah dan Aisyah bermain bunga api

Hasif bersama sepupu, Nabilah dan Aisyah bermain bunga api

Saya juga sangat gembira kerana tahun ini Hasif buat pertama kalinya berjaya berpuasa penuh. Setakat ini dia dapat berpuasa penuh pada hari Sabtu dan Ahad lepas, di atas galakan semua ahli keluarga. Hasif juga dapat bangun sahur tanpa banyak masalah, cuma permintaannya untuk makan ‘nasi lemak Pak Su’ untuk sahur tidak dapat ditunaikan, tetapi Sabrina menggantikannya dengan nasi lemak masakan sendiri.

Cuma Cik Raihan dan Dik Su sangat skeptikal dengan ‘puasa’ Muhammad Hasif, kerana energy levelnya yang seperti biasa, dan tidak pernah meminta untuk berbuka atau minum air. Saya memilih untuk berbaik sangka dengan Hasif kerana kalau dia mahu berpuasa pun sudah dianggap bonus.

Dari segi ibadah pula setakat ini alhamdulillah berjaya istiqamah bertarawih di masjid, dan sengaja saya elakkan majlis-majlis berbuka puasa jemputan syarikat-syarikat vendor. Berbuka di rumah berkali ganda lebih bermakna, dan insya-Allah saya boleh makan bersama mereka selepas Ramadhan kelak.

Tetapi, seperti biasa tadarus saya setakat ini baru mencecah juzuk 3 pada 10 Ramadhan. Saya memang agak perlahan dalam bab tadarus ini. Walaupun semasa di Mekah menunaikan haji, saya hanya khatam sekali al-Qur’an. Ini kerana saya lebih suka bertadarus satu helai, dan berhenti membaca maksudnya. Saya bukannya orang Arab yang boleh memahami dan menghayati isi kandungan Al-Qur’an dengan hanya membaca ayat-ayat al-Qur’an.

Dan saya sangat bersetuju, jika ada ibadah yang anda terasa nak buat, seperti solat sunat tasbih, tahajjud, dhuha atau solat berjamaah setiap waktu di masjid dan surau, inilah peluang terbaik anda untuk melakukannya. Dan lebih baik jika kita menanam azam untuk istiqamah setelah selesai berlatih di Maktab Ramadhan tahun ini. Ini kerana berdasarkan pengalaman saya yang tidak seberapa ini, jika pada bulan Ramadhan yang mana kita hanya bergelut dengan hawa nafsu pun kita tidak mampu menunaikan ibadah-ibadah tambahan, jangan harap tiba-tiba kita dapat melakukannya di luar Ramadhan.

Seperti biasa, saya mengharapkan maghfirah (keampunan) dan tiketĀ  untuk ke syurga dari kembara di Maktab Ramadhan 1430H, dan disebabkan itu wajiblah saya berusaha meMerdekakan diri ini dari belenggu nafsu yang sentiasa tidak pernah cukup dan puas. Semoga ini juga menjadi idaman anda semua, dalam merebut the ‘Greatest Mega SALE’ setahun sekali anjuran Pemilik Alam Semesta..