izharhadafi

Archive for Disember 2010|Monthly archive page

Kain Putih

In Famili on Disember 23, 2010 at 11:33 pm

PERIKSA AKHIR TAHUN

Hari itu Hasif balik dengan membawa kertas ujian penggal akhir Matematik. Hanya setelah di arahkan oleh Sabrina barulah dia pergi mengambil kertas ujiannya untuk ditunjukkan kepada saya.

Saya menjangkakan keputusannya biasa-biasa saja, telahan dari gerak tubuh Hasif yang tidak begitu ‘excited.’ Tetapi apabila dilihat, markahnya 92!

Sungguh saya tidak faham dengan anak yang seorang ini, kalaulah saya yang mendapat keputusan sebegitu, sudah lama saya terlompat-lompat gembira..

Tetapi setelah semua keputusan diperolehi dan kedudukan dalam kelas dan seluruh darjah diperolehi; barulah saya mendapat jawapan dari gaya selamba Hasif sebelumnya.

Dengan mendapat ‘A’ dalam semua mata pelajaran dan mendapat markah purata lebih 90 untuk setiap mata pelajaran, Hasif masih mendapat kedudukan ke-22 dalam kelas dan 77 dalam seluruh darjahnya.

Ini membuatkan saya termenung sebentar. Kalau Hasif yang mendapat kedudukan ke-77 mendapat markah purata 90; saya tak tahulah berapa markah yang diperolehi oleh rakannya yang mendapat nombor 1. Mungkin semua 100 kot..

Sama ada pelajar sekolah berkenaan bijak-bijak belaka atau guru-guru sengaja membuat soalan mudah untuk murid tahun 1 sebagai motivasi untuk mereka belajar dengan lebih tekun.

KIASU-ISM?

Bila menghantar anak ke sekolah rendah barulah terasa ‘bahang’ untuk memandaikan anak. Saya kata begitu kerana, ramai ibubapa yang sudah mula menghantar anak-anak ke tuisyen sebaik saja anaknya masuk darjah 1. Ada yang sudah menghantar anak semasa mereka di tadika lagi!

Apabila ditanya kenapa menghantar anak ke tuisyen sebegitu muda, jawab mereka, “Kalau tak hantar nanti ketinggalan. Kesian kat anak..”

Mulanya saya tidak faham, tetapi sekarang bila Hasif pulang dengan membawa kad laporan kemajuan untuk Darjah1, barulah saya faham..

Setakat ini Sabrina dan saya cuba untuk bertahan, kami tidak menghantar Hasif untuk tuisyen. Kerana pada pendapat kami tuisyen tidak menjana minda. Hanya ‘rote-learning’ iaitu membuat latihan secara berulang kali supaya akhirnya si anak itu hafal tanpa mendapat kefahaman.

Kami menghantar Hasif ke Global Art dan Vital Years. Satu kelas seni dan satu lagi kelas English menggunakan kaedah ‘thematic’. Harapnya dengan menghantar Hasif ke kelas yang lain dari apa yang dipelajari di sekolah, dia dapat ‘develop his creative side’ dan mendapat kemahiran yang baru.

Pada masa yang sama, sepanjang musim cuti sekolah ini kami ada mendorong dia untuk menghafaz surah-surah lazim, dengan menjanjikannya satu set permainan pistol Nerf sekiranya dia berjaya membuat hafalan. Alhamdulillah, dia sudah berjaya menghafal 17 surah dari al-Fatihah ke surah az-Zalzalah.

KAIN PUTIH

Mungkin sebab itulah kita sering mendengar orang berkata, anak-anak itu umpama kain putih. Ibu bapalah yang mencorakkan kain mengikut haluan yang kita kehendaki.

Menjadi pencorak kepada masa depan anak-anak inilah yang menakutkan.

Sering terfikir, cukupkah perhatian yang diberi? Perlukah dia mendapat bantuan tambahan dalam pelajarannya? Kalau dia cenderung ke arah agama, kenapa tidak hantarkan dia ke sekolah tahfiz atau sekolah-sekolah agama seperti al-Amin dan Khalifah?

Setakat ini, kami berikan yang termampu dan yang terbaik menurut pengetahuan kami yang terbatas ini. Selebihnya kami hanya mampu untuk mendoakan agar suatu hari nanti, dia akan membesar menjadi manusia yang berguna kepada agama, bangsa dan negara..

Advertisements