izharhadafi

Archive for Jun 2009|Monthly archive page

Superhero Pujaanku

In Pemikiran & Ehwal Dunia on Jun 25, 2009 at 4:25 pm

Autobot vs Decepticon

TRANSFORMERS 2

Hasif, Sabrina dan saya menonton Transformers: Revenge of the Fallen semalam. Sebenarnya bapa dan anak yang semangat untuk menonton; Sabrina mengikut saja.

Dua jam setengah wayang ditayangkan, saya rasakan setiap minit adalah penuh dengan adrenalin; pertembungan antara kuasa baik dan jahat, Autobots dan Decepticon. Penceritaan yang baik, penuh suspen dan animasi CGI yang mengkagumkan. Saya rasa Transformers 2 lebih baik dari Transformers yang pertama.

Sambil memandu pulang, saya ada bersembang dengan Sabrina, akan hero-hero pujaan kanak-kanak dan dewasa seluruh dunia. Neo dari The Matrix, Optimus Prime dan rakan-rakan, X-Men dan ramai lagi superhero keluaran Marvel dan DC Comics. Semuanya hasil dari imaginasi manusia dan membawa mesej dan nilai-nilai universal yang sama. Yang jahat tidak akan dapat mengalahkan yang baik, itu mesej utamanya.

SUPERHERO ISLAM?

Di masa yang sama kita banyak membaca literature tentang hero-hero lagenda orang British seperti King Arthur, Amerika dengan Davy Crockettnya, China dengan Wong Fei Hung dan William Wallace, hero Scotland yang difilemkan kisahnya dalam Braveheart. Saya bertanya, tidak adakah superhero dari dunia Islam?

Sebenarnya ada.

Sebagaimana kisah Nabi Muhammad dan para Sahabatnya berjuang di permulaan Islam, setiap zaman sehingga kini muncul mujaddid-mujaddid yang akan memperbaharui semangat keIslaman kepada dunia, sebagaimana hadith Rasulullah saw ini:

“Allah akan mengutus kepada umat ini di setiap awal kurun seorang yang akan memperbaharui (atau memulihkan) urusan agama” (Sunan Abu Dawud, Kitab al-Malahim, bab 1.)

Namun berapa ramai umat Islam yang kenal akan superhero-superhero Islam ini? Mereka bukannya imaginasi semata, mereka berjuang dan mencatat kejayaan yang tidak terduga melalui usaha keras dan munajat mereka kepada Allah swt. Mereka inilah hero-hero yang lebih layak diperkenalkan kepada anak-anak kita, dikisahkan sambil mendodoi anak untuk tidur saban malam.

Hari ini, saya mengambil kesempatan untuk memperkenalkan Sultan Muhammad al-Fatih, seorang ‘superhero’ yang tiada tolok bandingnya, sehingga Nabi saw pernah bersabda 8 kurun sebelum kelahiran Sultan Muhammad al-Fatih semasa perang Khandak:

”Sesungguhnya Costantinople itu pasti akan dibuka. Sebaik-baik ketua adalah ketuanya, dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya”

Inilah orang yang dimaksudkan oleh Rasulullah. Sultan Muhammad al-Fatih, pembuka kota Konstantinople!

Berapa ramai di antara kita yang mengetahui akan cara yang begitu unik untuk tentera al-Fatih ini menyeberangi halangan rantai besi yang di rentang oleh kerajaan Byzantine di Selat Bhospore, Laut Marmara dan Tanjung Emas (Golden Horn)? Sultan Muhammad al-Fatih telah diilhamkan oleh Allah swt untuk membawa kapalnya masuk ke perairan Tanjung Emas yang di halang oleh rantai besi gergasi melalui satu kaedah yang sunggu luar biasa.

Baginda telah mengarahkan tenteranya untuk menebang hutan, melumur lemak-lemak haiwan di atas kayu-kayan yang di tebang sebagai alas dan menarik 70 buah kapal perang dari pantai Besiktas ke Galatan melalui bukit yang begitu tinggi dengan jarak melebihi 3 batu dalam satu malam sahaja!

Saya tidak dapat membayangkan bagaimana kiranya kisah ini dapat difilemkan dan dipertontonkan kepada khalayak ramai. Mungkin lebih dramatik dari filem-filem epik Hollywood!

Saya amat berharap agar kita umat Islam dapat kembali kepada sejarah dan mencari permata-permata yang bergemerlapan ini. Kisah hidup, kejayaan dan akhlak mereka wajar dicontohi dan diceritakan kepada generasi muda. Supaya mereka sedar, umat Islam suatu masa dahulu mempunyai superhero yang benar-benar hidup, benar-benar mempunyai keajaiban hasil hampirnya mereka dengan Allah swt dan bukannya superhero komik semata.

Agar suatu hari nanti, superhero baru akan muncul di kalangan anak-anak kita, yang bakal membawa Islam keluar dari zaman kegelapannya ini..

Nota kaki:

1. Bacaan selanjutnya tentang Sultan Muhammad al-Fatih di sini.