izharhadafi

WAKAF, ZAKAT DAN ANJING

In Pemikiran & Ehwal Dunia on November 1, 2014 at 1:27 pm

WAKAF HANYA UNTUK KUBUR DAN MASJID

Hujung minggu lepas, saya ada menghadiri ‘sneak preview’ untuk pelancaran satu pembangunan hartanah yang akan menggunakan tanah wakaf. Tanah berkenaan telah diwakafkan oleh seorang individu kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan setelah berpuluh-puluh tahun terbiar, akhirnya akan dibangunkan sebagai satu kawasan perumahan semi-D dengan pajakan 99 tahun.

Apa yang menarik adalah, selama berkurun-kurun, masyarakat Melayu Islam seringkali mengaitkan tanah wakaf hanyalah boleh digunakan untuk tanah kubur, masjid dan surau. Apabila ada usaha untuk membangunkan tanah wakaf untuk kegunaan selain daripada itu, maka timbullah banyak tohmahan yang tidak berasas dan seringkali langsung tidak bersandar kepada hukum Islam.

Lantas, isu membangunkan tanah wakaf untuk tujuan komersial seperti untuk menjual rumah adalah konsep yang sangat baru di Malaysia. Tidak hairanlah ketika majlis berkenaan, majoriti soalan yang diajukan bukanlah mengenai harga rumah atau pakej jualan hartanah berkenaan, tetapi lebih banyak kepada hukum dan memohon penerangan syarak tentang isu-isu berkaitan pembelian rumah di atas tanah wakaf.

ZAKAT KEPADA OKU?

Begitu juga polemik yang melanda institusi zakat. Setelah bertahun lamanya, banyak pihak merayu agar golongan OKU dan institusi yang menolong dan menaungi golongan OKU diberi pertolongan dalam bentuk zakat. Banyak perbincangan dan perdebatan yang dibuat, tetapi malangnya pihak institusi zakat masih tidak mengiktiraf golongan OKU sebagai layak untuk menerima zakat.

Alhamdulillah, saya diberitahu baru-baru ini, Majlis Fatwa Selangor telah meluluskan fatwa untuk memberikan zakat kepada golongan OKU. Itupun juga setelah menerima kritikan hebat dari orang ramai dan badan-badan NGO yang memperjuangkan nasib OKU.

Walaupun masih belum dilaksanakan, tetapi insya-Allah telah bermula langkah pertama untuk bantuan disalurkan kepada golongan OKU dan institusi-institusi NGO untuk OKU.

I WANT TO TOUCH A DOG

Perbahasan mengenai hukum menyentuh anjing dan sensitiviti orang Melayu Islam terhadap anjing sudah lama diperdebatkan. Sejak tahun 1930an lagi, perdebatan terbuka antara ulama’ telah berlaku di Tanah Melayu apabila Sultan Kelantan pada ketika itu ingin membela anjing.

Isu ini menjadi viral kembali dengan penganjuran kempen ‘I Want to touch a Dog’ baru-baru ini.

Saya bersetuju dengan objektif penganjurnya untuk menghilangkan stigma ‘anjing’ dikalangan Melayu Islam, cuma saya berharap agar penganjuran aktiviti seperti ini sepatutnya dianjurkan oleh pihak yang berautoriti dan bukannya individu.

Jelas, walaupun niat penganjurnya adalah baik, tetapi kegagalan penganjur untuk mengawal aktiviti-aktiviti semasa program berlangsung secara tidak langsung menjadi fitnah kepada mereka sendiri.

MENUKAR SUDUT PANDANG MELAYU MUSLIM

Sensitiviti orang Melayu Muslim terhadap sesuatu perkara seharusnya berasaskan ilmu yang benar; dan bukannya berdasarkan sentimen semata-mata.

Namun itulah yang sering kita lihat terjadi, apabila umat Melayu Islam sangat senang diprovokasi; contoh terbaik ialah isu kalimah Allah.

Hanya di Malaysia, pihak bukan Islam tidak dibenarkan menggunakan kalimah Allah sebagai ganti kepada Tuhan. Sedangkan di negara-negara Teluk, sudah beribu tahun orang Kristian merujuk Tuhan sebagai Allah.

Hanya dengan ilmu yang benar, orang Melayu Islam tidak akan mudah melatah dengan provokasi pihak-pihak tertentu, yang tidak mahu melihat hubungan antara kaum di Malaysia semakin rapat, dan semakin selesa dengan kaedah pecah dan perintah.

Saya juga ingin menutup artikel ini dengan informasi dari Ustaz Anuar, Perbadanan Wakaf Selangor, yang menyatakan bahawa di Turki, terdapat sebidang tanah yang sangat besar, diwakafkan untuk pemeliharaan anjing-anjing terbiar.

Sangat tidak ‘dapat diterima dek akal’ untuk masyarakat Melayu Muslim, tetapi itulah yang berlaku di Turki dan bagi saya itulah antara tanda-tanda rahmat Islam yang meliputi sekalian alam; termasuklah anjing.

 

Tinggalkan komen