izharhadafi

Archive for Januari 2009|Monthly archive page

Keluarga saya

In DS, Famili on Januari 30, 2009 at 12:00 pm

Family Picture

Gambar di atas di ambil hampir genap setahun yang lalu di Strawberry Kijal Resort Apartments di Kemaman. Saya menempah kediaman ini melalui internet, di sebalik kekalutan membina bangunan extension untuk MILO Batching plant di Nestle Petaling Jaya. 

Setakat ini alhamdulillah saya dan Sabrina dikurniakan 2 orang anak lelaki, Muhammad Hasif 6 tahun dan Arif Uthmani, 3 tahun. Nama Uthmani itu diilhamkan oleh nama Tok Wan dari kedua-dua belah pihak sebelah ayah dan ibu saya yang kebetulannya sama, iaitu Othman.

Saya sekarang bekerja di sebuah syarikat chemical trading berdekatan dengan KLCC, manakala isteri bertugas sebagai guru di sebuah sekolah di Taman Shamelin Perkasa. Setelah berkahwin, kami tinggal di Cheras, sampai sekarang sudah hampir 7 tahun di sini.

Hasif bersekolah di Tadika al-Fath, berdekatan dengan rumah dan mulai tahun ini transit di Nurseri ‘Paling Comel’ bersama adiknya Arif. Adik Arif walau baru berumur 3 tahun juga bersekolah di Kiwanis Down Sindrome Foundation(KDSF) National Centre di Taman SEA, Petaling Jaya.

Adik Arif mempunyai Down Sindrome (DS) sejak lahir. Ia adalah satu keadaan di mana DNAnya mempunyai lebihan 1 pasang kromosom dari manusia normal. Alhamdulillah, setelah menjalani pembedahan jantung di IJN pada usianya 3 bulan, Arif tidak lagi menghadapi apa-apa masalah kesihatan kronik yang biasanya dikaitkan dengan kanak-kanak DS.

Kami menerima Arif Uthmani seadanya dan sepertimana ibubapa yang lain, akan mencuba memberi yang terbaik kepadanya bagi memastikan sekurang-kurangnya Arif dapat berdikari apabila dia mencecah dewasa. Itulah harapan kami. 

Melalui blog ini, insya-Allah kami  akan berkongsi pengalaman kami sendiri dalam menjaga anugerah Allah ini dan andai ada ibubapa lain yang mempunyai anak istimewa seperti kami dapatlah kita berkongsi maklumat dan saling bantu-membantu (support group) di dalam membesarkan mereka. Komen anda amatlah dialu-alukan..