izharhadafi

Archive for April 2010|Monthly archive page

Mengubah Persepsi

In Pemikiran & Ehwal Dunia on April 19, 2010 at 10:44 pm

TRAGEDI OKTOBER 2009

Mungkin ada yang membaca, artikel “Tragedi Oktober” yang saya siarkan sekitar hujung tahun lepas. Ianya mengenai kemalangan kecil yang berlaku semasa saya dalam perjalanan menghantar Arif ke sekolah. Chee telah melanggar saya sehingga bumper kereta saya jatuh, tetapi tidak mempunyai wang untuk membayar kos pembaikan. Sudahlah tidak mempunyai wang, dia juga merayu meminta saya agar tidak melaporkan kemalangan ini, kerana dia baru mendapat lesen P.

Saya pula, despite everyone against me for not lodging a police report decided to give a chance to him. Entah apa yang membuatkan saya kesian pada dia, walaupun saya sendiri sudah berkali-kali di tipu oleh strangers.

KENA ‘CON’

Saya cukup memahami dari sudut pandangan sahabat-handai dan saudara, kerana seingat saya sudah 2 kali saya tertipu. Sekali di perkarangan SOGO, di mana seorang pak cik Melayu menghampiri untuk meminta tambang untuk balik ke Langkawi, kerana beliau baru keluar dari IJN dan dalam perjalanan ke KLIA telah dirompak.

Atas sebab kasihan, saya berikan wang secukupnya untuk dia naik bas ke Kuala Perlis dan tambang bot ke Langkawi. Sehari kemudian, bila saya menelefon pak cik berkenaan (beliau memberi nombor telefon), rupa-rupanya nombor yang diberi milik sebuah hotel di sana!

Kali kedua ditipu semasa saya baru balik dari menghantar ibu bapa saya di KLIA. Seorang lelaki Cina menghampiri, juga dengan cerita yang hampir sama, cuma kali ini kampungnya di Taiping ingin mencagar loket emas dan akan menuntut kembali loketnya apabila kembali ke KL seminggu kemudian. Setelah menunggu sebulan, barulah saya tahu, loket berkenaan adalah palsu!

BERTEMU CHEE

Saya sudah bersedia untuk ‘mendapat’  pandangan “I told you so..” dari Sabrina jika Chee memilih untuk menghilangkan diri tanpa membayar sesen pun wang yang dijanjikan. Chee berjanji akan membayar secara ansuran selama 6 bulan bermula dari Oktober 2009 hingga April 2010.

Namun, di sebalik perwatakannya yang agak ‘ganas’ dengan bertindik di kening itu, beliau berpegang kepada janjinya. Setiap bulan tanpa gagal, beliau memasukkan wang ke dalam akaun bank saya. Ya, ada masanya terlewat dan ada masanya tidak cukup, tetapi beliau akan berusaha untuk memaklumkan sebarang masalah dari pihaknya untuk membayar.

Dari latar belakangnya pula, ada banyak ‘alasan’ untuknya tidak membayar gantirugi kepada saya. Ya lah, RM1500 bukannya sedikit untuk seorang pembantu restoran yang bergaji RM1000 sebulan. Tambahan pula beliau juga menyara seorang ibu tua yang tinggal sendirian di Ampang.

Jadi bulan ini adalah ansuran terakhir antara saya dan Chee. Saya bertemu buat kali terakhir dengannya di Restoran Nelly, Taman Connaught. Beliau menyerahkan ansuran terakhirnya kepada saya. Saya menerima dan kemudiannya menyerahkan kembali wang itu kepadanya dengan mengatakan, “Saya kasi diskaun. Saya ingat kamu mau lari, tak mau bayar, tapi kamu bayar juga sampai habis. Sebab itu saya kasi diskaun.”

Beliau terdiam. Kemudiannya dia berkata, “Terima kasih, tapi ini wang saya memang mau kasi Encik, saya…” dan sebelum beliau menghabiskan ayatnya, saya terus memotong dengan berkata, “Ah Chee, saya tau kamu mau pakai duit ini..saya tak mau ambil.”

Sekali lagi beliau berterima kasih dan berjanji akan terus menghubungi dan belanja saya minum suatu hari nanti.

MENGUBAH PERSEPSI

Sekali lagi saya terus ditarbiah dengan peristiwa yang berlaku di sekeliling, dan hanya mereka yang mahu mengambil iktibar akan terus belajar dari kehidupan.

Setiap kita pasti mempunyai persepsi tensendiri terhadap golongan tertentu; seperti saya dengan anak muda berbangsa Cina seperti Chee. Namun persepsi saya jelas salah; dan peribadi mulia seperti mengotakan janji tidak berada di dalam ‘profile’ golongan yang seperti Chee.

Stereotyping sebeginilah yang perlu saya elakkan, dan peristiwa sebeginilah yang memulihkan harapan saya terhadap humanity..