izharhadafi

Rezeki Secupak Takkan Jadi Segantang

In Motivasi & kerjaya, Pemikiran & Ehwal Dunia on Februari 5, 2009 at 11:17 am

Rezeki secupak..USAHA DAN REZEKI

Saya mula memahami konsep usaha dan rezeki apabila menghadiri satu sesi taklimat mengenai Perbankan Islam di Baitul Jundi. Baitul Jundi adalah gelaran yang kami beri pada sebuah rumah di Bandar Baru Bangi, yang diinfakkan sementara oleh seorang pensyarah UKM untuk dihuni oleh sahabat-sahabat saya dan menjadi pusat pengajian al-Quran bagi kanak-kanak di kawasan berdekatan.

Menurut penceramah berkenaan-yang saya sudah lupa namanya kerana sudah 7-8 tahun berlalu, setiap makhluk telah ditetapkan rezekinya sejak azali lagi. Tetapi perkadaran rezeki ini menjadi rahsia Allah dan rezeki ini dilimpahkan menurut kadar usaha kita.

Saya akan cuba untuk menerangkan pernyataan di atas, tetapi sebelum itu saya ingin membuat satu ‘disclaimer.’ Apa yang saya tulis ini adalah berdasarkan kefahaman saya yang masih kurang ilmu dan sedang belajar. Jika ada kesimpulan yang bakal saya lakukan itu menyimpang dari maksud sebenar, maka betulkanlah saya.

SECUPAK TAKKAN JADI SEGANTANG

Jadi mungkin ramai yang mempersoalkan, jika rezeki itu sudah ditetapkan, maka apa guna berusaha keras? Cukuplah dengan apa yang ada dan seolah-olah pemikiran ini sebati dengan kita orang Melayu.

Pepatah Melayu ada menyebut, rezeki secupak tidak akan menjadi segantang. Sekilas pandang, pepatah ini seolah-olah menyanggah norma mencari rezeki; iaitu jika rezeki itu sedikit, walau bagaimana mencuba dan berusaha, ianya tidak akan bertambah. Tetapi jika dihalusi secara kritis, mungkin kita akan muncul dengan soalan, siapa yang tahu akan kadar rezekinya? 

Sebagai contoh, seorang yang bekerja di sektor swasta, mungkin gaji permulaan sebagai siswazah adalah RM2,000. Jika tiada perubahan mendadak seperti naik pangkat atau diberhentikan kerja, maka itulah gajinya dengan mungkin pertambahan increment 4 peratus setiap tahun sehingga dia bertukar kerja atau pencen.

Bagi sesetengah pekerja, jika gajinya telah tetap sebanyak itu maka apa perlu dia berusaha lebih? Gajinya akan tetap sama. Jadi pekerja berkenaan akan bekerja mungikut kadar yang dia sendiri fikirkan berpatutan dengan gajinya itu. Tetapi apa yang menjadi kayu ukuran bahawa kadar usahanya itu sudah sampai ke tahap maksimum? Mungkin jika dia berusaha lebih sedikit, rezeki yang bakal diterimanya berlipat ganda (dan tidak semestinya diterima dalam bentuk  gaji di hujung bulan!)

Dalam ertikata lain mungkin Allah telah mengkadarkan rezeki kepada beliau sebanyak RM5,000. Tetapi pada bulan itu kadar usaha pekerja itu hanyalah berkadaran dengan rezeki sebanyak RM2,000. Maka RM2,000-lah rezeki yang dia dapat pada bulan berkenaan!

SIAPA YANG MEMBERI REZEKI?

Sebab itu adalah penting untuk membezakan syarikat yang membayar gaji dan Allah yang memberi rezeki. Kadangkala terkeliru. Allah boleh memberi rezeki tanpa perlu kita bekerja, sebagaimana ulat di dalam batu mendapat makanan. Tetapi sunnatullah atau menjadi hukum alam untuk kita berusaha dahulu dan Allah akan memberi ganjaran berkadaran dengan usaha kita itu.

Mungkin tujuan Allah merahsiakan kadar  rezeki kita adalah untuk menguji keyakinan kita kepadaNya. Jika syarikat yang membayar gaji kita itu mengarahkan kita untuk melakukan perkara yang bertentangan dengan hukum Allah, mana yang kita pilih? Tepuk dada, tanyalah iman.

GAJI BUKAN REZEKI

Kadang-kadang kalau kita renungkan kembali, entah berapa sen sahaja gaji yang kita terima itu boleh dianggap rezeki kita. Sebagai contoh, dari RM2,000 wang gaji, RM500 untuk ansuran kereta. RM200 pula untuk sewa rumah bujang. Lagi RM500 pula untuk parking, tol , minyak dan kos selenggara kereta. RM500 untuk pakaian, makan, minum dan selebihnya untuk simpanan.

Jika di lihat takrif rezeki menurut perspektif Islam – nikmat atau benda yang memberi manfaat kepada tuan empunyanya, mungkin dari pecahan perbelanjaan di atas, hanya nikmat memandu kereta, nikmat menumpang teduh di dalam rumah sewa, kemudahan yang kita perolehi mengelakkan kesesakan jalan raya kerana membayar tol dan nikmat merasai makanan dan minuman melepasi tekak kita yang lapar dan haus yang boleh kita anggap sebagai rezeki kita.

Selebihnya hanya transaksi sementara di dalam akaun bank kita untuk di bayar kepada orang lain. Duit di dalam bank pun belum tentu rezeki kita. Tambah pula yang sudah berkahwin dan menyara keluarga. Lagilah terasa.

 

  1. salam Izhar,

    saya park link awak di blog saya, boleh ya? Teruskan blogging dan berkongsi pandangan-pandangan awak dan update tentang famili. Sampaikan salam saya untuk Sabrina ye.

  2. hi asma… ada blog ye..nanti nk pi jenguk

Tinggalkan komen