izharhadafi

Posts Tagged ‘GPS’

Perjalanan Kerjaya

In Motivasi & kerjaya on Mei 27, 2009 at 4:23 pm

career_puzzle

GAGAL DALAM KERJAYA?

Saya tidak tahu mungkin nasib saya agaknya, saya merasakan selalu gagal dalam merancang kerjaya.

Maksud gagal bukan bererti tidak mendapat gaji atau pangkat yang dikehendaki, tetapi gagal dalam ertikata mencari satu pekerjaan yang saya selesa dengannya dan menepati ideals yang saya dokong.

Mulanya saya merancang untuk menjadi pensyarah. Saya menolak tawaran bekerja di beberapa syarikat elektronik seperti Robert Bosch dan Samsung semata-mata untuk mencapai target saya ini. Dengan berbekalkan biasiswa National Science Fellowship, saya membuat kajian menggunakan GPS pada satelit berorbit rendah untuk menentukan kualiti udara melalui pembiasan.

Namun, atas sebab-sebab tertentu saya tidak mendapat ijazah sarjana walaupun telah menghabiskan kajian saya sepertimana yang dipersetujui awalnya dengan supervisor saya. Dan saya tidak mahu untuk memanjangkan kisah ini memandangkan supervisor saya itu masih saya anggap sebagai guru dan banyak berjasa kepada saya. Tambahan pula beliau telah pun meninggal dunia beberapa tahun yang lepas.

Setelah 3 tahun bergelumang dalam dunia akademik, saya menyertai sebuah syarikat GLC yang berkaitan dengan kajian yang saya buat. Sekali lagi, pada masa yang sama saya juga mendapat tawaran untuk menyertai Motorola R&D di Pulau Pinang. Satu peluang yang saya impikan dan juga peluang untuk saya balik kampung!

Tetapi saya kalah dengan pujukan supervisor saya. Beliau meminta saya untuk menyertai syarikat GLC berkenaan dan menggunakan sentimen nasionalisme, beliau meminta saya untuk ‘berkhidmat untuk negara’ selama beberapa tahun sebelum menyertai dunia swasta. Saya masih ingat, 2 kali pihak Motorola menelefon saya selepas saya menolak tawaran kerja dari mereka.

“It’s very rare for anyone to decline a Motorola offer..” itu kata Pengurus HR mereka pada masa itu.

PROJEK SYOK SENDIRI

Saya banyak merantau ke negara orang dalam tempoh ini. Saya berpeluang ke benua Eropah, Afrika Selatan, Singapura dan Thailand. Kononnya atas study-visit. Selepas setahun lebih bersama mereka, saya berhenti kerja. Saya tidak mahu bersubahat dalam menghabiskan duit rakyat dengan pelbagai projek ‘syok sendiri’ dan menipu rakyat. Pelbagai proposal yang saya berikan untuk menambahkan pendapatan syarikat diterima oleh pihak pengurusan dengan komen, “We will review this.” Dan itulah berita terakhir yang saya dengar mengenai proposal-proposal saya.

Saya sepatutnya ke El Segundo, California sebelum saya meletakkan jawatan. Boleh saja saya memberi notis selepas balik dari USA, memandangkan visa sudahpun diluluskan dan saya hanya menunggu pengesahan tarikh untuk ke sana dari pihak US. Tetapi mengenangkan berapa banyak lagi wang rakyat yang bakal dihabiskan untuk membiaya pemergian saya ke sana dan pastinya tidak pulang modal atau mempunyai nilai tambah, saya keraskan hati untuk meletak jawatan.

NESTLE PENYELAMAT

Nasib baik ketika itu saya berjaya mendapat tempat dalam satu program kerjaya di bawah Nestle, iaitu ‘New Talent Development Programme.’ Saya mengambil masa yang begitu lama untuk berfikir dan merenung, akan keputusan yang bakal saya ambil ini. Ramai orang yang tidak menggalakkannya, kerana latar belakang saya lebih kepada electronics dan GPS technology. Bagai langit dan bumi!

Tetapi saya membulatkan tekad dan membuat keputusan untuk menyertai syarikat multinasional dari Swiss ini. Saya bekerja di Nestle selama 4 tahun 3 bulan. Sepanjang di sana, saya telah bekerja di semua kilang-kilang Nestle yang utama di Semenanjung Malaysia, iaitu di Rembau, PJ dan Shah Alam; di atas kapasiti saya sebagai jurutera projek.

Saya akui, kerja di kilang kurang glamournya, tetapi dalam tempoh saya di sana banyak sekali yang saya pelajari. Pelajaran dan pengajaran, tentang teknikaliti pekerjaan, mengenai hubungan sesama insan dan mengenal erti kehidupan! 

Saya tekun di dalam kepompong kerjaya sepanjang di Nestle, sehinggalah saya tersentak dengan kelahiran Arif Uthmani. Ketika itu saya berada di Rembau untuk menghabiskan projek MILO Junior, satu produk baru untuk anak-anak 3 hingga 6 tahun. 

Itu pun saya masih tenggelam dalam kesibukan menyiapkan projek sehingga saya hanya mampu mengambil cuti 1 minggu, sehari sebelum Arif menjalani pembedahan jantungnya di IJN. Selepas itu saya langsung tidak mengambil cuti dan kebanyakan masanya bekerja termasuk hari Sabtu dan Ahad demi memastikan kilang dapat di ‘commission’ menurut deadline yang diberi.

crossroads

Hanya setelah kembali ke Nestle House di PJ saya dapat melihat kembali betapa tidak seimbangnya kehidupan saya pada masa itu. Dan saya merasa amat bersalah kepada Sabrina kerana ‘membiarkan’ dia menguruskan Arif dan Hasif tanpa sokongan padu dari saya yang tenggelam dalam dunia karier sendiri.

Tambahan pula saya kemudiannya diberikan satu projek berprofil tinggi di Shah Alam sebagai stepping stone di atas kejayaan projek MILO Junior tempohari. Bagi warga Nestle, apabila anda diberi kepercayaan untuk bersama projek untuk produk-produk elit seperti MILO dan Nescafe, itu memberi petanda positif terhadap masa depan kerjaya di Nestle. 

Saya berada di dalam dilema ketika itu. Masa depan saya begitu cerah bersama Nestle dan pada masa yang sama keluarga sangat memerlukan saya. Dan saya pula malu untuk bersemuka dengan bos saya, untuk bercerita hal-hal peribadi. Saya mula mencari jalan keluar..

MENCARI JALAN KELUAR

Walaupun akhirnya saya berjaya untuk mencari satu pekerjaan yang dapat memberikan saya masa, itu bukan bermakna perjalanan kerjaya saya sudah berakhir. Ya, saya mendapat kerja yang selesa, gaji yang boleh dikatakan lumayan, kereta syarikat dan juga masa yang sangat fleksibel. Tetapi jiwa saya meronta-ronta!

Setelah hampir setahun di syarikat kepunyaan Bumiputera ini, saya tidak dapat menyesuaikan diri dengan tuntutan kerjaya yang baru. Terasa apa yang saya buat ini sangat kontras dengan nilai-nilai hidup yang saya pegang dan pertahankan selama ini. Dan sekali lagi saya mencari jalan keluar..

Alhamdulillah, bos-bos di Nestle masih memberi ruang dan peluang kembali kepada saya. Saya lebih tertarik dengan human touch yang ditunjukkan sepanjang beberapa sesi rundingan untuk membincangkan ‘kebarangkalian’ saya untuk kembali ke sana. 

Mereka juga sanggup untuk bertolak ansur kali ini dengan beberapa tuntutan saya, terutama yang berkaitan dengan fleksibiliti masa untuk saya menghantar Arif ke KDSF. Untuk itu saya bersyukur dan berterima kasih.

Saya tidak tahu bagaimana perjalanan kerjaya saya akan berakhir nanti. Namun setelah menelusuri ombak dan badai di alam pekerjaan ini menjadikan saya lebih matang dan bertanggungjawab. Saya teringat nasihat bekas bos saya, Mr. Faical Krichane, yang kini khabarnya mengetuai bisnes Nestle untuk Zon Asia, Oceania dan Afrika,

“I hope you have made up your mind on what you are going to do for the rest of your career.”

Insya-Allah, I think that I have came to that decision now..