izharhadafi

Dreams or memories?

In Motivasi & kerjaya on Februari 19, 2010 at 11:11 pm

Saya telah membaca satu artikel yang sangat menarik, hasil kupasan Sdr. Roshan Thiran dalam The Star, 13 Februari 2010 bertajuk, “Do you have dreams or memories?” Sebenarnya saya juga sering membaca artikel-artikel dan perkembangan Sdr. Roshan yang menerajui satu syarikat konsultasi bernama Leaderonomics, yang menumpukan aktivitinya dalam perkembangan modal insan golongan belia.

Beliau menyentuh mengenai kecenderungan banyak organisasi, sama ada di dalam syarikat, sebuah negara mahu pun persatuan yang sering terperangkap dengan kegemilangan masa lampau. Satu contoh yang nyata adalah kerajaan Rom pada ambang kejatuhannya terlalu obses untuk mempertahankan kegemilangan lampau dengan membina tugu-tugu peringatan dan menutup pintunya dari menerima pengaruh luar. Seperti yang umumnya kita ketahui, ketamadunan Rom rebah dan tidak mampu bangkit kembali akibat keegoan mereka untuk menerima perubahan.

John Maxwell juga mempunyai teori “Law of the Lid”, yang mengatakan setiap individu atau organisasi mempunyai satu siling atau penutup. Apabila individu atau organisasi itu sudah mencapai hadnya dan menyentuh siling, tiada perkembangan (growth) akan berlaku lagi. Organisasi yang sudah mencapai siling, kebanyakannya cenderung untuk menoleh ke belakang dan bernostalgia dengan kegemilangan zaman silamnya daripada mencuba untuk mengembangkan tahap siling.

Dan pemimpin berwawasan akan bertindak untuk membuka siling dengan membawakan satu visi baru untuk organisasi mereka.

Jadi bagaimanakah kondisi kita; sebagai individu, masyarakat Melayu dan umat Islam dalam konteks ini?

Sebagai seorang Melayu Muslim, saya tidak dapat lari dari merasakan bahawa orang Melayu dan umat Islam sebenarnya terperangkap di dalam jerat terlalu bernostalgia dengan kejayaan lampau, tetapi telah alpa dengan cabaran yang menuntut kita untuk berubah sekarang.

Memang benar, bumi Malaysia ini asalnya Tanah Melayu, hak-hak orang Melayu dipertahankan di dalam perlembagaan dan sebagainya, tetapi jika kita lihat apa sudah jadi kepada bangsa Rom yang pastinya jauh lebih hebat pencapaiannya dari bangsa Melayu.  Saya amat pasti pada era kegemilangannya, hak-hak orang Rom sudah tentu dipertahankan di dalam Dewan Senatnya, tetapi hari ini di manakah mereka?

Begitu juga dengan kebanyakan umat Islam hari ini, yang berlagak seperti separuh dunia ini masih di bawah takluk khalifah Islam dan setiap ‘arahan’ dan fatwa yang dikeluarkan itu akan dituruti oleh semua, termasuklah non-Muslims.

Kita harus berpijak di bumi yang nyata. Khilafah Islamiyah telah pun runtuh pada awal kurun ke-20, semenjak itu dunia Barat telah pun mendominasi setiap aspek kehidupan, baik dari segi sosial, ekonomi, politik dan ketenteraan.

Selagi umat Islam belum sedar dari lenanya yang bermimpikan kegemilangan Islam, umat Islam tidak dapat untuk membuat satu reality check; seperti seorang yang tidak sedar dirinya sakit, tidak akan berjumpa doktor untuk merawat penyakitnya itu.

Sebab itulah, kita harus rasional dalam menghadapi isu-isu sensitif seperti kalimah ‘Allah’ dan ketuanan Melayu di Malaysia. Dengan memberi ugutan dan amaran, saya pasti ianya tidak diendahkan oleh pihak di sebelah ‘sana’. Kerana apa? Kerana mereka mempunyai kekuatan dan sokongan yang padu dari segenap pendokongnya.

Malah jika diperhatikan, dari segi strategi, daya juang dan amalan ‘fardhu kifayah’nya; zahirnya mereka lebih Islamik (mengamalkan konsep Islam) dari umat Islam sendiri!!

Saya berpendapat bangsa Melayu dan umat Islam perlu lebih fokus dengan apa yang boleh dibuat daripada menghalang orang untuk berbuat apa-apa.

Jika kita berpendapat pegangan ekuiti Melayu dalam ekonomi Malaysia sangat nominal, maka jalan keluarnya ialah berusaha dengan lebih keras untuk mempertingkatkan pegangan ekuiti Melayu, dan bukannya mengambil ekuiti bangsa lain untuk diberikan kepada orang Melayu.

Jika kita berpendapat hak umat Islam di Malaysia semakin diasak dengan mubaligh Kristian yang cuba memurtadkan golongan Melayu-Islam, maka jalan keluarnya ialah untuk memperkasakan jatidiri Melayu-Islam itu sendiri dan mengambil kesempatan di atas kelebihan kita yang berada di sebuah negara Islam untuk menyeru golongan non-Muslim masuk ke agama kita.

Jalan keluar ini saya akui bukanlah mudah, tetapi saya yakin dengan perancangan yang rapi, perpaduan di kalangan bangsa Melayu-Islam dan komitmen yang jitu, nothing is impossible!

Sesungguhnya tiada salahnya kita bermimpi akan kemenangan Islam dan Melayu suatu hari nanti. Ini kerana kemenangan ini sudah tertulis dan pasti akan berlaku. Namun adakah kita sebagai individu akan menjadi sebahagian dari proses kemenangan ini atau pun tidak?

Landasan untuk kita lalui sudah ditetapkan dan pengakhirannya di janjikan dengan kemenangan. Namun terpulang kepada kita untuk mengemudi gerabak keretapi itu agar ianya bergerak dan sampai ke destinasinya. Belum tentu orang yang berada di landasan yang benar dapat menamatkan perjalanannya dan lebih sedih lagi jika pada permulaannya kita berada di landasan yang betul tetapi di pengakhirannya tiba ke destinasi yang salah.

Apa yang penting ialah istiqamah untuk memperbaiki diri dalam perjalanan kita di sepanjang landasan yang kita pilih. Teruslah melihat dan mara ke hadapan kerana itulah peluang untuk kita mencorak sesuatu di dalam lipatan sejarah, dan sekali-sekala jeling-jelinglah ke belakang untuk mengambil iktibar dari peristiwa yang telah berlalu..

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: