izharhadafi

Fitnah Kepala Lembu

In Pemikiran & Ehwal Dunia on September 7, 2009 at 12:37 pm

Fitna-Factor-back

PERARAKAN KEPALA LEMBU

Saya mengikuti dengan penuh kerisauan akan peristiwa “mengarak kepala lembu” yang berlaku baru-baru ini di Shah Alam. Kekesalan itu berganda apabila ianya dilakukan oleh sekumpulan Melayu-Muslim yang baru sahaja selesai solat Jumaat di Masjid Sultan Salahuddin.

Apa yang mereka fikirkan ketika itu? Adakah perbuatan mereka itu satu jihad yang dituntut? Atau mereka yang berarak itu tidak lebih dari ‘lembu yang dicucuk hidung’, mengalami simptom “saya yang menurut perintah?” Dan sekali lagi Islam difitnah oleh umatnya sendiri yang bergelar Muslim.

Saya tidak berniat menulis seolah-olah saya seorang pakar dalam hubungan antara agama atau kaum, tetapi cukup dengan ‘common-sense’, dan menggunakan sedikit usaha untuk berfikir sejenak sudah cukup untuk mana-mana manusia normal untuk menentukan sama ada dengan berarak dengan kepala lembu yang ‘tak berdosa’ itu mampu menyelesaikan segala permasalahan mereka.

Kita selalu diajar untuk melakukan sesuatu sebagaimana kita ingin diperlakukan (do to others what you would like to be done to you). Sebagaimana kita tidak mahu orang bukan Islam menghina agama kita, kita juga ditegah dari menghina agama orang lain. Firman Allah swt yang bermaksud:

Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan.”(Al-An’am: 108).

KEMBALI KEPADA SEJARAH

Kita juga perlu kembali kepada sejarah dan mencari contoh-contoh yang ditinggalkan oleh Rasulullah saw dan para Sahabat dalam hubungan mereka dengan orang bukan Islam.

Pada ketika umat Islam teruk dibantai di kota Mekah di permulaan usia Islam, tahukah anda bahawa seorang raja Kristian bernama Negus yang menyelamatkan hampir 100 orang Islam yang berhijrah ke Abyssinia (sekarang Ethiopia), antaranya adalah Uthman al-Affan dan isterinya, Ruqayyah yang juga merupakan anak perempuan Rasulullah saw.

Tahukah anda bahawa Abu Bakar telah meminta pertolongan seorang Badwi bukan Islam, Abdullah bin Urayqat sebagai penunjuk jalan, di peristiwa yang paling penting dalam sejarah Islam, iaitu peristiwa Hijrah untuk membawa Nabi Muhammad dari Mekah ke Madinah.

Jelas sekali ini menunjukkan tahap keyakinan yang tinggi Nabi dan para Sahabat kepada orang-orang bukan Islam (pastinya mereka yang jujur, amanah dan tidak bermusuh dengan Islam!), sehingga perkara sepenting Hijrah pun mereka mendapatkan bantuan orang bukan Islam. Kalaulah Abdullah bin Urayqat ingin khianat, beliau dengan mudahnya dapat berbuat demikian, kerana Rasulullah hanya bersama Abu Bakar ketika itu.

Oleh itu janganlah kita bermusuh dengan seseorang itu hanya kerana agamanya, kerana Islam tidak pernah mengajar umatnya sedemikian. Ini bertepatan dengan seruan Allah swt dalam surah al Mumtahanah ayat 8-9 yang bermaksud:

“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.

Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu menjadikan sebagai kawanmu orang-orang yang memerangi kamu kerana agama dan mengusir kamu dari negerimu dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu. Dan barangsiapa yang menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang yang zalim.”

BALASLAH KEJAHATAN DENGAN KEBAIKAN

Lalu saya pasti akan ada yang akan menjawab secara sinis (dan sebenarnya sudah ada orang yang berkata begitu), “Dah tu kepala babi pun dah letak depan masjid, takkan nak duduk diam? Nak tunggu kepala orang Islam terpacak atas tiang bendera baru nak bertindak?”

Saya pinta bertenang dan mari kita rujuk kembali contoh terbaik yang diberi oleh Salahuddin al-Ayubi..

Menurut Ibnu Kathiir, apabila tentera Salib menguasai Jerusalem pada 1099 M, Islam tidak pernah menerima bencana yang seteruk ini. 70,000 umat Islam telah dibunuh dalam masa seminggu, termasuk mereka yang berlindung di dalam Masjid al-Aqsa.

Tetapi setelah Salahuddin al-Ayyubi menakluk kembali kota Jerusalem dari tentera Salib pada tahun 1187 M, apa yang baginda lakukan?

Dengan ribuan tentera Salib yang ditangkap, ramai yang dibebaskan dengan wang tebusan. Apabila dirayu oleh ibu-ibu dan isteri-isteri tebusan, baginda membebaskan mereka tanpa syarat. Malah baginda menyediakan pengangkutan untuk mereka balik. Penganut agama Kristian dibenarkan keluar dari kota Jerusalem tanpa sebarang ancaman. Harta benda mereka dijamin dari dirampas.

Nah, inilah ajaran Islam yang sebenar!

Justeru itu, wahai kaum Muslimin sekalian, berhenti sejenak dan berfikirlah sebentar. Jangan biarkan rasa marah mengatasi segala nasihat Allah dan semua contoh-contoh pekerti mulia yang ditinggalkan oleh para Muslimin yang terdahulu.

Hanya dengan ini, kita dapat menghindari agama suci kita ini dari diftnah sekali lagi dan yang lebih menjelekkan apabila Islam dipergunakan oleh mereka-mereka yang ada kepentingan tertentu!

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: