izharhadafi

Cinta di rumah Hassan Al Banna

In Ulasan Buku on Ogos 12, 2009 at 11:35 pm

Nama buku: Cinta di rumah Hassan al Banna

Penulis: Mohammad Lili Nur Aulia

Penerbit: Alam Raya Enterprise

hasan al bana

MUKADDIMAH

Sudah agak lama buku ini diberi oleh seorang sahabat; pintanya untuk saya mengulas mengenai buku ini di dalam blog saya. Saya merasa agak janggal, pertamanya kerana agak malu kerana rupanya sahabat saya ini mengikut perkembangan melalui tulisan saya di dalam blog ini dan keduanya merasa tidak layak untuk memberi komen tentang buku yang ditulis orang, sedangkan saya sendiri merangkak-rangkak menulis dalam media ‘syok sendiri’ seperti dalam blog ini.

Namun demi menghormati permintaan sahabat saya ini, saya akan tambahkan lagi satu kategori dalam penulisan saya, iaitu Ulasan Buku. Dalam kategori ini saya cuba untuk mengulas dan berkongsi pendapat tentang buku-buku yang telah dan sedang saya baca. Semoga bermanfaat dan dapat memberi motivasi kepada diri sendiri dan anda untuk meneruskan habit membaca walaupun sudah lama meninggalkan sekolah atau universiti.

ULASAN

Saya tertarik dengan ulasan di dalam kata pengantar yang antaranya menyebut akan peri pentingnya peranan seorang ayah terhadap anak-anaknya. Dalam budaya kita selalunya ibulah yang banyak dipertanggungjawabkan dalam urusan mendidik dan mengasuh anak, tetapi sedarkah anda bahawa jika kita mengambil al-Qur’an sebagai sandaran, tidak ada satu dialog pun antara anak dengan ibunya. Yang ada hanyalah dialog antara Luqmanul Hakim dengan anaknya dan Nabi Ibrahim dengan anaknya Nabi Ismail ketika Nabi Ibrahim diperintahkan Allah swt untuk menyembelih Nabi Ismail.

Saya merasa seperti diletakkan batu yang berat di atas bahu sebaik membaca kata pengantar itu. Walaupun saya menyedari akan peranan seorang ayah, kenyataan itu memberi satu impak yang berbeza. Ini ditambah dengan membaca kisah seorang lelaki yang ingin melaporkan kepada Khalifah Umar al-Khattan akan anaknya yang derhaka.

Lalu apabila dibawa si anak dan ditanyakan kepadanya kenapa dia derhaka, anak itu bertanya kembali, ” Wahai Amirul Mukminin, tidakkah seorang anak mempunyai hak yang harus ditunaikan oleh orang tuanya?” “Ya” jawab khalifah. “Apakah itu? tanya si anak. Khalifah menjawab, “Ayah wajib memilihkan ibu yang baik untuk anak-anaknya, memberikan nama yang baik dan mengajarkan Qur’an kepadanya.”

Lantas si anak menjawab, “Wahai Amirul Mukminin, tidak ada satu pun daripada tiga perkara itu yang ditunaikan oleh ayahku. Ibuku Majusi, namaku Ja’lan dan aku tidak pernah diajarkan membaca al-Qur’an. Umar al-Khattab kemudiannya menoleh kepada si ayah dan berkata: “Engkau datang mengadukan kederhakaan anakmu, ternyata engkau yang menderhaka kepadanya sebelum dia menderhaka kepadamu. Engkau telah berlaku tidak baik terhadapnya sebelum dia berlaku tidak baik kepada engkau.”

BAGAIMANA DENGAN HASSAN AL BANNA?

Lalu jika diambil kenyataan Umar al-Khattab dan dibandingkan dengan tindakan Hassan al-Banna, maka tidak hairanlah jika beliau mempunyai anak-anak yang begitu taat kepadanya. Hassan al Banna memilih isterinya daripada cadangan ibunya yang tertarik apabila mendengar alunan suara bacaan al-Qur’an seorang gadis yang begitu lunak semasa beliau berkunjung ke rumah sahabatnya.

Anak-anaknya diberikan nama yang baik-baik: Wafa, Ahmad Saiful Islam, Tsana, Raja’,Halah dan Istisyhad.

Dan alunan bacaan al-Qur’an isterinya, yang mulanya menambat hati ibu Hassan al Banna menjadi bacaan harian yang diajarkan kepada anak-anak mereka.

Di dalam kesibukan Hassan al Banna bekerja sebagai guru di siang hari dan kemudiannya giat berdakwah sehingga ke tengah malam setiap hari, beliau masih memberi perhatian yang penuh kepada keluarganya. Antara aktiviti yang menjadi prioriti adalah makan bersama, mengambil tahu akan keperluan rumah (grocery shopping) dan bercuti serta bermain bersama keluarga.

Beliau juga sangat mengambil berat akan perkembangan setiap anaknya. Setiap dari anak-anaknya mempunyai fail khas yang diuruskan sendiri oleh Hassan al Banna, antaranya mempunyai maklumat peribadi anak, jadual pemberian ubat dan makanan, keterangan secara terperinci mengenai keadaan penyakit dan catatan prestasi anak di sekolah.

Secara tidak langsung, beliau telah menerapkan cinta melalui tauladan, atau perlakuannya sendiri. Itulah sebaik-baik guru, walaupun tanpa mengucap sepatah kata. Mungkin disebabkan itu, walaupun tempoh masa bersama anaknya begitu singkat kerana kesyahidannya pada awal 40an, tunjuk ajar dan kehangatan pelukannya masih dirasakan oleh anak-anaknya sampai sekarang.

KESIMPULAN

Buku ini adalah sangat ringkas dan mudah difahami. Melaluinya saya belajar akan pentingnya seorang ayah di dalam sesebuah keluarga. Tauladan yang diberi memberi inspirasi; walaupun ada di antara perbuatannya mungkin tidak dapat saya contohi (atas kelemahan diri sendiri).

Banyak lagi perkara yang disentuh dalam buku ini. Saya hanya mengambil poin-poin yang saya rasa penting.

Harap anda mendapat sedikit manfaat dari ulasan ini. Belum sempat saya menghabiskan ulasan buku ini, seorang lagi sahabat telah pun memberi sebuah lagi buku untuk di ulas. Kali ini oleh salah seorang cucu Hassan al Banna; Tariq Ramadhan. Tajuk bukunya adalah, ‘The Messenger: The Meanings of the Life of Muhammad.” Hmm..bila pulalah nak sempat habiskan buku ni..

  1. Assalamualaikum wbt Bro,
    Nampaknya kena laa update page ‘ skop penulisan’ . Tambah kategori ke-5.

    Tahniah.

    Moga patah2 perkataan anta diganjari pahala olehNYA.

    Imam Muslim dan Abu Dawud meriwayatkan, daripada ‘Aisyah r.a., bahawa Nabi s.a.w. bersabda:

    “Sesungguhnya tiada satu perkara jika didekati dengan lembut kecuali akan menjadi indah. Dan tiada satu perkara jika dicabut darinya kelembutan kecuali akan menjadi buruk”.

    Imam Muslim meriwayatkan, daripada Abu Mas’ud r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

    “Tiada seorang nabi yang diutuskan sebelumku kecuali bersamanya pengikut-pengikut setia daripada kalangan umatnya, serta para sahabatnya yang mengikuti sunnahnya dan mematuhi arahannya.

    Kemudian mereka diganti oleh generasi selepas itu yang berkata
    perkara yang mereka tidak buat dan membuat perkara yang tidak diperintahkan.

    Sesiapa yang melawan mereka dengan tangannya maka dia adalah mukmin,sesiapa yang melawan mereka dengan lisannya maka dia adalah mukmin dan sesiapa yang melawan mereka dengan hatinya maka dia adalah mukmin.

    Tiada lagi iman sesudah itu walau sebesar biji sawi”.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: