izharhadafi

Generasi Pewaris

In Famili, Pemikiran & Ehwal Dunia on Julai 18, 2009 at 12:08 am

Solat anak

Saya masih ingat, doa selepas solat pertama kali saya hafal semasa di tingkatan 1. Prefect Ruzaimi menulis di papan hitam di dalam surau dan menyuruh kami untuk menghafalnya. Setiap kali menjadi imam solat, beliau juga akan membaca doa yang sama, agar kami semua dapat melihat di papan hitam dan turut membaca doa itu sekali.

Sebelum itu, semasa di sekolah rendah kalau orang menadah tangan berdoa, saya hanya menurut. Sangat mekanikal. Tak tahu pun apa signifikannya menelangkupkan tangan ke atas. Rupa-rupanya itu direct line aku dengan Sang Pencipta.

Jadi apabila suatu hari Hasif balik dari sekolah dan memberitahu, dia sudah hafal doa selamat yang panjang itu saya agak terkejut. Biar betul budak ni. Aku form 1 baru terkial-kial nak hafal doa lepas solat, dia dah boleh baca doa selamat?

Selepas wirid seusai solat berjamaah Maghrib di rumah, saya menoleh ketepi dan berkata, “Hasif bacalah doa selamat tu, Abah nak dengar.” Dia pun menadah tangan dan membaca dari awal hingga ke akhir. Saya menjeling kepada Sabrina. Wah…terkasima sebentar.

Sebelum ini pun dia sering membuatkan saya sebak dengan doa ‘ibu bapa’nya. Dengan suara yang nyaring, dia membaca dalam bahasa Arab dan terjemahannya sekali

“Ya Allah, Ampunilah dosa-dosaku dan dosa-dosa kedua ibu bapaku, kasihanilah mereka sepertimana mereka mengasihaniku semenjak kecil lagi. Amin..”

Walaupun saya tidak pasti sama ada doa itu beserta dengan kefahaman, cukuplah untuk mencairkan hati saya dan Sabrina.

Saya bersyukur setakat ini kerana ada improvement dari segi ibadah dari satu generasi ke generasi yang berikutnya. Jika dulu saya mengambil masa yang begitu lama, tunggang tonggek bersolat tanpa menghafal bacaan-bacaan di dalam solat, hari ini pada usia 6 tahun Hasif sudah dapat menuturkannya dengan lancar dari mula takbir hinggalah ke tasyahud Akhir.

Saya amat memahami, kalau setakat hafal doa, bacaan dalam solat, apa yang nak dibanggakan? Ramai lagi yang lebih hebat. Hafal Qur’an pun ada. Tetapi saya membandingkan antara saya dan Hasif. Saya tidak menghantar dia ke sekolah tahfiz, cuma ke tadika yang banyak menerapkan nilai-nilai Islam. Itu pun pada usianya 4 tahun, dia bersekolah di tadika Cina. Hanya setelah nampak ketidakserasian cara pengajian dengan jiwa Hasif, kami menukarkannya ke tadika Islam.

Hari ini, ada masanya dia masih lalai ketika solat, tambah pula kalau berjumpa gengnya di surau. Sambil solat boleh melompat-lompat dan menyanyi. Tapi saya faham, pada usianya itu amat sukar untuk fokus dalam sesuatu perkara. Banyak sangat perkara berbangkit..

Cuma saya berdoa agar momentum yang berjaya dibawa setakat ini dapat berterusan, kerana saya juga tahu betapa ramai anak-anak yang mempunyai asas agama yang mantap, tetap hanyut dibuai nafsu dan pengaruh rakan sebaya.

Semoga generasi anak-anak kita menjadi generasi yang lebih baik dari kita. Dan generasi seterusnya menjadi lebih baik dari generasi anak-anak kita. Hanya dengan cara ini, superhero-superhero Islam dapat dilahirkan, sebagaimana umat Islam di zaman Imam Syafie yang menunggu lebih 100 tahun akan datangnya Salahuddin al-Ayubi, pembebas Masjidil Aqsa dan Palestin.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: