izharhadafi

Selamat Hari Bapa!

In Famili on Jun 22, 2009 at 4:18 pm

SAYA DAN ABAH

Mama ada bercerita, sebagai menyambut kelahiran saya, Abah membeli satu set televisyen warna; ketika itu masih baru dijual di Malaysia pada tahun 1978. Beliau begitu gembira kerana kali ini anak lelakinya yang ketiga lahir pada tarikh yang sama dengan tarikh lahirnya; 28 Jun.

Saya tidak merasa apa-apa layanan yang istimewa berkongsi tarikh lahir dengan Abah, selain dari sambutan hari lahir yang selalunya lebih ‘special’ dari adik-beradik yang lain kerana menumpang birthday dengan Abah. Mama selalu memujuk yang lain, ini combined birthday, jadi kenalah buat lebih sedikit ; )

Oleh kerana saya masuk ke sekolah berasrama sejak tingkatan 1 lagi, hubungan saya dengan Abah dan Mama bolehlah dikatakan ‘biasa-biasa’ sahaja. Tambahan pula saya asyik mencari alasan untuk tinggal di asrama, walaupun semasa cuti sekolah. Selalunya latihan sukanlah yang mengambil banyak masa saya semasa cuti sekolah.

Perangai saya yang tidak suka balik rumah itu berterusan sehingga ke matrikulasi, sehingga saya tidak balik untuk berhari raya di rumah semata-mata hendak merasa suasana Raya di Sarawak. Mama sebak di telefon, kerana anaknya ini tidak mahu balik walaupun Mama sudah hendak membeli tiket kapal terbang untuk saya balik ke Pulau Pinang.

Hanya apabila saya berada di UKM dan Abah ketika itu bertugas sebagai Pengetua Maktab Perguruan Teknik, Cheras barulah hubungan saya dengan Abah dan Mama semakin rapat. Selain dari sebab-sebab ekonomi (makan free etc.), saya selalu meneman Abah dan Mama ke Jasin, Melaka. Cik Raihan adik saya selalu homesick. Jadi kami selang seminggu terpaksa melawat dia di MRSM Jasin.

ABAH KEMALANGAN

Kemudian beberapa bulan sebelum Abah pencen, satu kemalangan telah menimpa Abah. Beliau telah terjatuh dari pokok cempedak di belakang kuarters Pengetua di Maktab Perguruan Teknik. Jiwa kampung Abah menyebabkan beliau sangat geram melihat buah-buah cempedak yang besar-besar saban tahun membusuk kerana tiada siapa yang membalutnya dengan sarung.

Ketika hendak turun dari pokok cempedak, Abah tergelincir dan jatuh. Badan Abah terkena dahan cempedak dan itu menyebabkan tulang belakangnya cedera. Menurut doktor HUKM, tulang belakangnya compressed dan mempunyai hairline fracture. Akibat dari itu, beberapa bulan Abah terlantar di rumah dengan badannya sendiri yang dibalut simen. Kerana itu, beliau masih sempat berseloroh, “Orang yang nak pi balut cempadak yang kena balut..”

PANGGILAN HAJI

Kejadian itu rupanya ada hikmahnya. Ini kerana Abah dan Mama sudah lama membuat perancangan untuk menunaikan Haji untuk kali kedua sempena persaraan Abah. Namun mereka agak gusar dengan keadaan kesihatan Abah kerana musim haji yang bakal menjelang hanya kurang setahun dari kejadian yang menimpa Abah.

Setelah semua ahli keluarga bermesyuarat, mereka meminta saya untuk meneman Abah dan Mama untuk menunaikan Haji pada tahun berikutnya. Saya pula agak terkejut, tidak menyangka panggilan Haji ke atas saya berlaku begitu cepat! Saya baru 21 tahun ketika itu. Baru hendak habis Universiti. Along dan Angah pula sudah berkeluarga dan berkerjaya. Susah hendak minta cuti. Adik-adik pula semuanya bersekolah. Nampak gayanya, cuma saya yang mempunyai ruang untuk bersama ke sana.

Setelah banyak sesi istikharah dan solat hajat; di samping berjumpa Ustaz-ustaz dan sahabat, saya mendapat motivasi untuk bersetuju menerima panggilan Haji ini. Namun segalanya berlalu begitu pantas dan sehingga berangkatnya kami ke tanah suci, saya masih belum 100% bersedia terutamanya secara mental untuk ibadat Haji ini.

Alhamdulillah, Abahlah yang banyak membimbing dan memberi tunjuk ajar kepada saya dalam melaksanakan tuntutan Haji dan Umrah di kota suci Mekah.

Secara imbasnya kelihatan seperti saya yang menolong ibu bapa saya, tetapi dari segi persediaan Haji sebenarnya sayalah yang memerlukan pertolongan mereka!

Secara tidak langsung, saya belajar mengenal Abah ‘as a person’ sepanjang 45 hari pengembaraan kami di tanah suci. Dan pastinya dugaan dan cabaran yang di tanggung bersama merapatkan lagi perhubungan kami 3 beranak.

CABARAN SAIE

Satu peristiwa yang masih saya tidak boleh lupakan ialah sewaktu menunaikan Saie Umrah seminggu sebelum bermulanya musim Haji. Sewaktu itu hanya Abah dan saya yang menunaikan Umrah. Kami berniat di Tana’im dan kembali ke Masjidil Haram untuk tawaf. Kebetulan pada waktu itu jemaah Haji sudahpun ramai tiba di kota Mekah. Jadi kami terpaksa bertawaf pada radius yang lebih besar, di samping banyaknya halangan-halangan disebabkan ramainya manusia yang turut bertawaf dan iktikaf di sekitar Kaabah. Ini menyebabkan Abah keletihan.

Selesai bertawaf, kami menuju ke arah Bukit Safa dan Marwah untuk saie. Abah menyuruh saya pergi dahulu, sebab dia keletihan. Beliau hendak berehat dulu. Jadi saya pun terus tanpa berfikir panjang pergi bersaie. Sambil bersaie, mata saya liar mencari kelibat Abah. Hati sudah mula gusar kerana dari saie pertama hingga keenam, saya tidak nampak Abah kerana orang ramai. Hanya pusingan saie terakhir, saya ternampak Abah dari jauh.

Saya mempercepatkan langkah untuk menghabiskan saie dan tahallul sebelum menunggu Abah di Bukit Marwah. Apabila Abah sampai dia berkata, “Nampak hang, terus semangat nak buat saie. Tadi rasa nak jatuh dah..” Saya tersenyum. Dalam hati kecil saya berkata, “Sudah dimakan usia rupanya orang tuaku ini.” Dan perasaan sedih datang secara tiba-tiba kerana pada saat itulah saya perasan bahawa Abah sudah tidak sekuat dulu lagi.

Inilah orangnya yang saya ‘look up to’, hero saya ketika saya kecil sehingga sekarang. Dan orang yang sama ini mengharapkan anaknya untuk menaikkan semangatnya menghabiskan ibadah Umrah. Betapa saya menyaksikan putaran alam yang bergerak; suatu hari si Ayah yang menolong dan membantu si Anak dari kecil hingga dewasa, dan kini setelah dewasa si Anak pula mengambil tempat untuk membantu si Ayah pula. Subhanallah..

TRIBUTE TO ABAH

It takes a big courage to fill into Abah’s shoes. Dan saya tidak pernah mencuba untuk membandingkan diri saya dengannya. Apabila saya ingin membuat apa-apa keputusan, saya selalu berfikir, apa yang Abah akan buat dalam situasi ini. Dan juga, jika saya berada di dalam keadaan ingin untuk berbuat jahat, bayangan Abah selalu berlegar at the back of my mind dan selalunya saya akan tidak jadi melakukannya.

Walaupun Abah bukanlah Tan Sri atau tauke yang kaya, jika di beri pilihan saya akan tetap memilih Abah sebagai ayah saya. Darinya saya belajar menjadi bapa dan suami yang baik. Abah menjadi contoh yang terbaik dalam semua segi. Dan tidak selalu saya memujinya dan melalui blog ini sajalah saya berani untuk menulis sebegini.

Selamat Hari Bapa, Abah!

wukuf

Nota kaki:

1. Mama = Tok Yah = Ibu saya

2. Abah = Tok Wan Halim = Bapa saya

  1. Terimakasih atas tribute yg ditulis begitu menyentuh perasaan nurani mungkin terbitnya dari hati yg ikhlas anaknanda.Begitu cepatmasa berlalu kini abah sudah diambang senja. apa yang berlaku dan berlalu adalah dalam ketentuan Allah semata kita kena redho apa yang berlaku sebagai hamba setia dengan ketentuannya.

    Abah harapkan apa yang baik itu menjadi kenangan bersama dan apa yang buruk jadikan sempadan dan tauladan.Sebagai hamba Allah yg lemah tentulah banyak kesilapan dan kesalahan yg telah terjadi tanpa di sengajakan antara kita sekeluarga.Moga segalanya menjadi kenangan berfaedah dalam album hidup kita.

    Dipenggal akhir hidup abah diharapkan penuh ketenangan jiwa bersama keluarga dan diharapkan anak cucu semuanya berjaya mengikut kemampuan masing masing.Diharapkan juga tiada siapa yang terasa terasing atau sebagainya kerana kami telah cuba menjadi seadil mungkin dalam membesarkan anak-anak namun tentulah sukar memuaskan hati semua orang.Kalau kekurangan disana sini harap jangan ada anggapan yg serong dan maaf dipinta.Tolong sentiasa doakan kesejahteraan kami bila sudah tiada.Sekian wasalam.

    -Abah-

  2. salam,

    mohon singgah. coretan saudara sungguh menyentuh hati. semoga kita semua menjadi anak yang tahu mengenang jasa seorang yang dipanggil Abah.

    wassalam.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: