izharhadafi

Pejuang Kebenaran

In Pemikiran & Ehwal Dunia on Mei 21, 2009 at 5:52 pm

ABU ZAR AL-GHIFARI

Saya sebenarnya ditugaskan untuk membaca kisah hidup salah seorang sahabat Nabi saw, Abu Zar al-Ghifari. Setelah mengambil sedikit masa untuk membaca keseluruhan kisah hidupnya, saya menjadi teruja dan teringin untuk berkongsi maklumat ini bersama anda. Pembela Kebenaran

PENGISLAMAN ABU ZAR

Kisah hidup Abu Zar al-Ghifari dalam Islam bermula apabila beliau datang ke kota Mekah setelah mendengar perkhabaran bahawa telah muncul seorang Nabi yang mencela berhala dan para pengikutnya dan menyeru untuk beribadah kepada Tuhan yang Satu. 

Apabila beliau mendengar alunan ayat-ayat suci al-Qur’an dari lisan Rasulullah saw, beliau terus mengucapkan dua kalimah syahadah. Oleh kerana keterujaan beliau itu, Abu Zar terus menuju ke Masjidil Haram dan terus melaungkan, “Asyhadu alla Ilaha Ilallah was Asyhadu anna Muhammadar Rasulullah!” di tengah-tengah kaum Musyrikin yang sedang tawaf mengelilingi berhala-berhala yang diletakkan di Kaabah.

Apabila kaum Musyrikin Mekah mendengar perisytiharan terbuka Abu Zar itu, mereka terus mengepung dan memukulnya sehingga beliau jatuh. Tidak ada sesiapa pun di kota Mekah itu yang berani membuat pengisytiharan terbuka, tambah pula orang luar seperti Abu Zar ini.

Nasib baiklah bapa saudara nabi, Abbas bin Abdul Mutalib datang menyelamat, dengan berkata, “Wahai kaum Quraisy, Engkau semua bangsa pedagang yang mahu tidak mahu akan lalu di perkampungan bani Ghifar, dan orang ini adalah salah seorang dari mereka. Tidak mustahil bila ia akan menghasut kaumnya untuk merompak kafilah-kafilahmu nanti!” Selepas itu barulah Abu Zar dilepaskan pergi.

Kembalinya Abu Zar kepada kaumnya adalah berita baik buat kaum Muslimin. Beliau bukan sahaja berjaya mengislamkan puaknya, tetapi juga kaum Aslam. Kedua-dua kaum ini adalah kumpulan perompak dan penyamun yang digeruni di padang pasir tanah Arab kini telah berubah menjadi pendokong kebaikan dan kebenaran! Rasulullah sendiri kagum dengan daya usaha Abu Zar dan bersabda, “Sungguh, Allah swt memberi hidayah kepada siapa yang dikehendakiNya.”

PESAN RASULULLAH

Abu Zar adalah seorang sahabat yang sangat vokal dan berani. Beliau menjalani hidupnya secara benar dan tidak berada di dalam kekeliruan. Barangkali atas sifat-sifatnya itu, Rasulullah ada bertanya kepada Abu Zar;

“Wahai Abu Zar, bagaimana pendapatmu bila kamu menjumpai para pembesar yang mengambil barang ufti untuk diri mereka sendiri?  Jawab Abu Zar, “Demi Zat yang mengutus Tuan dengan kebenaran, akan saya tebas mereka dengan pedangku!” Sabda Rasulullah saw pula: “Mahukah kamu saya berikan jalan yang lebih baik dari itu? Iaitu bersabar sampai kamu menemuiku.”

Rupa-rupanya Rasulullah saw sudah dapat melihat perjalanan hidup Abu Zar, di mana beliau terpaksa menempuh satu zaman fitnah yang amat dahsyat kepada Islam, yang berpunca dari penguasa-penguasa yang tewas dengan godaan harta dan kuasa.

ZAMAN FITNAH

Hidup Abu Zar tenang dan damai sepanjang pemerintahan al-Furuq al’Azim, (pemisah hak dan batil) iaitu gelaran yang diberikan kepada Umar bin Al Khattab oleh Rasulullah saw. Namun setelah pemergiannya, dan kejayaan demi kejayaan yang dikecapi oleh kaum Muslimin telah menyebabkan ramai yang terdedah dengan godaan dunia sehingga terjerumus dalam kemewahan yang melampaui batas.

Abu Zar melihat semua ini. Keinginannya langsung ingin menghunus pedang dan menebas kepala para pembesar yang merompak hak rakyat. Namun apabila mengingat kembali wasiat peribadi Rasulullah saw kepadanya, beliau kembali menyarungkan pedangnya. Tetapi itu bukan berakhirnya perjuangan Abu Zar al-Ghifari! Bukankah Baginda saw pernah menyanjung Abu Zar dengan kata-kata berikut:

“Tidak akan pernah lagi dijumpai di bawah langit ini, orang yang lebih benar ucapannya selain dari Abu Zar.”

Maka dengan ‘senjata’nya itu, Abu Zar telah pergi ke pusat-pusat pemerintahan dan gudang harta, dengan lisannya yang benar dan tajam cuba merubah sikap mereka satu persatu. Beliau merantau jauh dan tidak satu pun perjumpaan yang dihadirinya itu tidak disertai dengan ucapannya seperti berikut:

“Khabarkanlah kepada pengumpul harta, yang mengumpul emas dan perak, mereka akan diseterika api neraka, menyeterika kening dan pinggang mereka di hari Kiamat.”

Pertembungannya dengan  Muawiyah bin Abu Suffian yang memerintah Syria menjadi epik sejarah yang selalu diulang-ulang sebagai contoh perjuangan menentang pembaziran dan penyalahgunaan kuasa, sehingga Muawiyah menjadi resah dan menulis surat kepada Khalifah Uthman pada ketika itu menuduh Abu Zar merosakkan perpaduan orang-orang di Syria.

Abu Zar diminta kembali ke Madinah, dan sebagai Muslimin yang taat kepada Khalifahnya, beliau akur. Pemergiannya ke Madinah dihantar oleh ribuan rakyat Syria, suatu peristiwa yang tidak pernah berlaku sebelumnya. Begitu kasih penduduk Syria kepada Abu Zar yang berada dekat di hati mereka.

Khalifah Uthman memujuk Abu Zar untuk tinggal bersamanya di Madinah. Kata Uthman, “Tinggallah tuan di sini disampingku. Di sediakan bagimu unta yang gemuk, yang akan menghantar susu pada pagi, tengahari dan petangnya.”  Jawab Abu Zar, “Aku tidak perlu kepada dunia tuan-tuan!”

MENYENDIRI DI RABAZAH

Dan Abu Zar meminta untuk tinggal di Rabazah (saya Google dan mendapati Rabazah berada di Iraq). Walaupun masih giat dengan revolusi moralnya itu, Abu Zar tetap berpegang kepada nasihat Rasulullah saw kepadanya.

Utusan dari Kuffah datang kepadanya untuk meminta sokongan untuk memulakan pemberontakan terhadap Khalifah, tetapi Abu Zar dengan tegas berkata:

“Demi Allah swt seandainya Uthman hendak menyalibku di tiang kayu yang tertinggi atau di atas bukit sekalipun tentulah saya dengar titahnya dan saya taati, saya bersabar dan sedarkan dirimu dan saya merasa bahawa demikian adalah yang sebaik-baiknya bagiku!”

“Dan seandainya ia menyuruhku berkelana dan mengembara dari satu hujung ke hujung dunia, tentulah saya akan dengar dan taati, saya bersabar dan menahan diri dan saya merasa bahawa yang sedemikian itu adalah yang sebaik-baiknya bagiku!”

Abu Zar mencurahkan segala tenaganya untuk melakukan dakwah secara damai dan menjauhkan dirinya dari segala godaan kehidupan dunia. Hidupnya dibaktikan dengan menentang penyalahgunaan kuasa dan pengumpulan harta sehinggalah saatnya hampir direnggut malaikat maut.

MATINYA SEBATANG KARA

Ummu Zar yang duduk dekatnya menangis melihat keadaan Abu Zar. Abu Zar bertanya, “Apa yang membuatmu menangis, padahal maut itu pasti datang?” Jawab Ummu Zar, “Kerana Tuan akan meninggal, padahal pada kita tidak ada kain untuk mengkafankan jenazah Tuan.”

Abu Zar tersenyum dan berkata kepada isterinya, “Janganlah menangis. Pada suatu hari, ketika saya berada di sisi Rasulullah saw bersama beberapa orang sahabatnya, saya mendengar Baginda saw bersabda, mafhumnya “Pastilah ada salah seorang di antara kamu sekalian yang akan meninggal di padang pasir liar, yang akan di saksikan oleh sekumpulan orang-orang yang beriman.”

“Semua yang ada di dalam majlis Rasulullah saw itu telah meninggal di kampung dan di hadapan jemaah kaum Muslimin, tidak ada lagi yang masih hidup di antara mereka, kecuali aku..nah, inilah aku sekarang menghadapi maut di padang pasir, maka perhatikanlah olehmu jalan..siapa tahu kalau-kalau ada sekumpulan orang-orang beriman itu sudah datang! Demi Allah swt, saya tidak berdusta, dan tidak pula didustakan!”

Abu Zar pun kembali ke rahmatullah tidak berapa lama kemudian.

Dan benarlah, sebuah kafilah yang diketuai oleh Abdullah bin Mas’ud tiba di Rabazah sejurus selepas kemangkatan Abu Zar. Air matanya berderai membasahi pipi di hadapan jenazah Abu Zar, lalu Abdullah bin Mas’ud berkata:

Sangat benarlah ucapan Rasulullah saw kepada Abu Zar semasa perang Tabuk yang bermaksud: ‘Engkau berjalan sebatang kara.. Mati sebatang kara.. Dan dibangkitkan nanti sebatang kara!’  

Nota kaki:

1. Rujukan : 133 Sejarah Wira Terbilang di Zaman Rasulullah saw, Dr. Khalid Muhammad Khalid, Al-Hidayah Publishers

 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: